09 December 2012

Jepun - Malaysia ( 2 )



gambar sekadar hiasan


Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri  dengan solat.
“Maaf, solat ni hal peribadi. siapa yang nak buat.. sila..  dah ada surau pun dalam bangunan ini. siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. itu hal masing-masing.”

“Ya. Solat tidak boleh dipaksa. Tetapi sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi.” tekan saya. 



“Mengapa?”

“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”

“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tuan?”

“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. 
Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”

“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”



“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. 

Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.

“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”



“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.


“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”



Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”

“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.



Setelah melihat dia diam, saya menambah,

 “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. 
Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. 

Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.



Kali ini saya pula terdiam.

“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.



“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. 


Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”



“Baik tu baik. Tetapi…”


“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. 
Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. 
Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. 
Pembaziran berleluasa. 
Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! 
Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.



Dia termenung. 

Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. 
Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. 
Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. 
tetapi oleh orang Islam sendiri.



Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa.


 Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!




♥ Ustaz Pahrol Mohd Juoi ♥









No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...